Jum, Follow Blog Mereka!

Its All About My Photoshoots

08 Disember 2008

Selamat Hari Raya Haji kepada semua pembaca blog yang saya kasihi....semoga keberkatan hari yang mulia mewarnai hari-hari ceria anda...Amin....

Pengertian Haji dan Syariatnya

Haji ialah perlakuan ibadah yang diakui syarak mengandungi niat dan perbuatan, khusus dilakukan di Mekah dalam beberapa bulan tertentu, bagi memenuhi perintah Allah dan mencari keredaanNya. Ia merupakan syariat agama yang utama yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Ibrahim a.s. Fardu Haji diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun kesembilan Hijrah (S.Sabiq 1:625). Pengsyariatannya diperkuatkan dengan dalil Al-Quran, Al Sunnah dan Al-Ijma', menjadikan salah satu rukun Islam yang lima, mengingkari kewajipan dan segaja menggalakkan boleh membawa kufur dan terkeluar dari Islam.

Dalil daripada Al-Quran di antaranya dalam surah Ali Imran, 3: 96& 97 yang bermaksud :

"Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia ialah Baitullah yang di Bakkah(Mekah) yang diberkahi dan menjadi peruntuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata (diantaranya) Maqam Ibrahim; barang siapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia;mengerjakan haji adalah kewajipam manusia terhadap Allah; iaitu (bagi) orang yang sanggup (mampu) mengadakan perjalanan kepadanya. Barangsiapa yang kafir (engkar terhadap kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam (ini)". Lihat juga Surah al-Hajj, 22:26&27.

Dalil al-Sunnah dijelaskan dalam satu hadis yang bermaksud:

"Islam itu dibina di atas kekuatan lima perkara, diantaranya ialah haji". Selain al-Quran dan Al-Sunnah, kewajipannya juga disepakati oleh para ulama" dari dahulu hingga sekarang. Ibadah haji juga adalah sebahagian daripada sebaik-baik amalan seperti dijelaskan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang apakah dia sebaik-baik amalan, Baginda menjawab: beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian jihad fisabilillah, seterusnya hajinya mabrur.

Ibadah haji juga boleh menghapuskan dosa-dosa dan mengembalikannya bersih seperti ia masih kecil; ia juga merupakan jihad, perutusan Allah yang setiap doa dan istighfarnya diterima Allah, dan yang paling utama ialah balasan bagi orang yang mendapat haji mabrur ialah syurga (S.Sabiq, 1:627)


Hikmah Haji

Haji bukan ibadah yang menjadikan seseorang itu merasa malu jika tidak menunaikannya. Ia juga bukan ibadah pelancongan untuk menunjukkan diri ke Baitullah, sebab dengan solatpun boleh mengarahkan diri mengadap ka'abah. Pada hakikatnya ibadah haji mempunyai hikmah dan falsafahnya yang tersendiri yang cukup dalam dan sangat bermakna dalam kehidupan umat Islam.

Ibadah Haji merupakan ibadah yang mengarahkan umat Islam kepada sesuatu matlamat iaitu keredaan Allah; ibadah yang menuntut keikhlasan dan pengorbanan seuntuhnya, baik dari segi raga mahupun harta bendanya; ibadah yang menuntut kesatuan umat, bukan perpecahan, menyatukan diri dengan umat Islam di seluruh dunia; ibadah yang menuntut saling berinteraksi dalam usaha mendekatkan diri dalam kesatuan jama'ah muslimin yang teguh. Nikmat kesatuan tujuan, matlamat dan ukhuwah ini hanya boleh dirasai oleh mereka yang yakin dan ikhlas dalam mengerjakan ibadah haji, dan faham dengan jelas konsep peribadatan dalam Islam.

Umat Islam tidak hanya semata-mata digalakkan untuk mengejar kebahagian di akhirat dengan bertawakal tanpa usaha, tetapi ia juga wajib berusaha untuk mencari kebahgiaan di dunia yang menjamin kebahgiaan di akhirat. Oleh sebab itu, ibadah haji diwajibkan ke atas mereka yang mampu. Ibadah haji memberi makna orang Islam wajib berusaha mencari kebahgiaan dunia dan akhirat. Mereka yang ingin menyempurnakan agama dengan menunaikan haji maka ia wajib mencari harta bagi membiayai perjalanan ke tanah suci Mekah. Usaha yang paling minima ialah sehingga ia mempunyai lebihan wang setelah digunakan untuk keperluan diri, keluarga dan tanggungjawabnya dan juga setelah menunaikan zakat. Ini bermakna ibadah haji mendorong umat Islam berusaha lebih kuat bagi menjamin kebahgiaan hidup dan keselesaan beribadah dengan cara yang lebih sempurna.

Iman bukan semata pengakuan lidah tetapi juga disertai dengan amal. Ibadah haji merupakan ujian, perngorbanan dan keikhlasan seorang muslim dalam mengukur keimanannya. Setelah imannya teruji dengan baik dengan melakukan solat dan sawm, pengorbanan harta seperti berzakat dan bersedekah atau infaq fisabilillah maka datanglah ibadah haji yang mengandungi kedua-dua sifat pengorbanan, yang menuntut umat islam mengorbankan jiwa raga atau fizikal untuk berusaha mencari harta dan pengorbanan wang serta seluruh kepentingannya yang lain untuk menunaikan haji. Ujian meninggalkan segala yang berbentuk keduniaan merupakan sesuatu perkara yang menguji keikhlasan seseorang dalam mengerjakan ibadah haji. Hasil keikhlasannya itu akan dapat dinikmati di dunia dengan rasa puas apabila pemergiannya itu dapat merubah sikap dan amalannya ke suatu tahap yang lebih baik dan mantap dalam kehidupannya. Itulah yang disebut mendapat haji mabrur.


Rukun Haji dan Umrah

Rukun haji lima perkara iaitu ihram beserta niat, wuquf di Arafah, tawaf keliling Ka'abah, melakukan sa'iy di antara Safa dan Marwah dan bergunting dan cukur rambut. Sementara rukun umrah pula empat perkara seperti di atas tetapi tidak termasuk wuquf di Arafah dan boleh dikerjakan bila-bila masa sepanjang tahun. Ibadah haji dilakukan mengikut cara-caranya yang tertentu dan berperaturan.

  • Rukun pertama umpamanya, memakai ihram berserta niat. Apabila ihram dipakai serta niat ihram haji diucapkan maka segala perkara yang dilarang wajib dijauhi. Ihram haji terbahagi kepada tiga, iaitu Haji Ifrad, Tamattu dan Qiran. Haji Ifrad ialah dilakukan ihram berserta niat haji. Setelah selesai barulah dikerjakan umrah, dan umrah itu hendaklah dilakukan pada tahun itu juga. Tamattu pula dilakukan ihram beserta niat umrah terlebih dahulu, setelah selesai baru dilakukan ihram haji. Sementara Qiran dilakukan kedua-dua ihram haji dan umrah serentak, maka amalan umrah termasuk dalam amalan haji, begitu juga Miqat dan perbuatan menjadi satu, tidak ada lagi muqat atau perbuatan yang terpisah-pisah.

  • Rukun kedua ialah tawaf di Arafah. Ia merupakan rukun haji yang paling penting dikira wukuf walaupun sekadar lalu atau berhenti seketika di Padang Arafah. Waktu wuquf bermula dari masuk matahari hari Arafah (hari yang ke 9) sehingga terbit fajar pagi.

  • Rukun ketiga ialah tawaf keliling ka'abah, disebut tawaf ifadah atau tawaf rukun semasa tawaf, keadaan seseorang itu hendaklah suci darpada hadas dan najis pada badan pakaian dan tempat. Jika berlaku hadas ketika tawaf maka wajib mengambil wuduk semula dan sambung semula tawaf hingga selesai tujuh kali pusingan. Dimulakan dari hajar aswad mengadap hajar sepenuhnya, kemudian jadikan ka'abah sebelah kirinya, terus berjalan mengelilinginya.

  • Rukun keempat ialah mengerjakan sa'iy di antara bukit Safa dan Marwah, sebanyak tujuh kali. Dilakukan secara tertib, dimulakan dari Safa ke Marwa. Tidak disyaratkan suci seperti dlam solat, afdalnya berjalan kaki, jika syak bilangannya enam atau tujuh hendaklah ambil yang sedikit.

  • Rukun kelima ialah bercukur atau gunting rambut kepala, sekurang-kurangnya tiga helai, afdalnya bagi lelaki ialah bercukur bersih. Apabila kesemua lima rukun ini dilakukan secara tertib, maka selesailah ibadah haji. Mengenai wajib dan sunat haji atau umrah dilakukan bersekali dengan rukun ketika menunaikan haji atau umrah.

Secara amalinya ibadah haji (ifrad) orang dari Malaysia seperti berikut. Sebaik sahaja masuk petang hari ke sembilan (mereka yang tinggal di Mekah) memakai ihram, menuju ke Tan'im, mengambil wuduk, solat dua rakaat sunat ihram di Masjid Tab'im, terus menaiki kenderaan menuju ke Padang Arafah, kenderaan akan sampai Arafah pada waktu malam dan kutip batu lontar jumrah sebanyak 21 biji dan wukuf di Arafah.



Tiada ulasan: