Jum, Follow Blog Mereka!

Its All About My Photoshoots

09 Januari 2009


SEPANG 8 Jan. - AirAsia Bhd. (AirAsia) tidak berhasrat membuka terminal lapangan terbang tambang murah miliknya, KLIA-East di Labu yang dijangka mula dibina selewat-lewatnya Mac ini, kepada mana-mana syarikat penerbangan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes berkata terminal yang dijadualkan siap pada 2010 akan menempatkan operasi dua syarikat penerbangan milik AirAsia iaitu AirAsia dan AirAsia X sahaja.

Beliau berkata: ''KLIA-East diluluskan kerajaan hanya untuk AirAsia sahaja.
Lagipun idea membinanya bukan untuk tujuan perniagaan tetapi memberi kemudahan yang selesa kepada para penumpang,''

Ditanya sama ada AirAsia akan menjadi pemilik LCCT baru itu, Fernandes berkata, setakat ini, AirAsia mempunyai pilihan sama ada memiliki terminal berkenaan ataupun hanya bertindak sebagai penyewa sahaja.

''Kami masih memikirkan perkara itu. Bagaimanapun kami terfikir daripada memiliki KLIA- East adalah lebih baik sekiranya AirAsia menggunakan wang tersebut untuk membeli 12 pesawat A320.

''Bagi saya adalah lebih baik, kami menggunakan wang untuk membeli lebih banyak pesawat atau menambah laluan berbanding memiliki aset (KLIA-East),'' tambah beliau.

Fernandes berkata, pihaknya juga telah menerima beberapa tawaran daripada penyedia dana yang berminat untuk memiliki KLIA-East dan menyewakan kepada AirAsia.

''Kami masih meneliti semua pilihan yang ada dan berharap dapat membuat satu keputusan muktamad dalam dua bulan lagi,'' kata beliau.

Fernandes juga berkata, pihaknya tidak pasti sama ada Sime Darby Bhd. (Sime Darby) akan hanya terlibat dalam pembinaan atau sekadar menjual tanah mahupun hanya memiliki ekuiti dalam KLIA-East.

''Itu semua bergantung kepada kelulusan lembaga pengarah Sime Darby dan saya tidak boleh mengulas lanjut mengenainya,'' kata beliau.

Sebelum ini, Sime Darby dilaporkan akan membina KLIA- East dengan kos RM1.6 juta tidak termasuk harga tanah dan kemudian menjualnya kepada AirAsia.

Berikutan itu, katanya, AirAsia juga telah membuat persediaan sekiranya berlaku sebarang perubahan berhubung urusan pembinaan KLIA-East.

Pada sidang akhbar itu, Fernandes sekali lagi menegaskan bahawa pembinaan terminal LCCT baru itu penting sekali bagi AirAsia dan AirAsia X menjelang 2011 kerana LCCT sedia ada di KLIA hanya mampu menampung 10 juta penumpang berbanding penumpang Airasia kini mencecah 11 juta.

Katanya, AirAsia juga masih mengalami masalah kekurangan dua tempat letak kapal terbang.

Beliau mendakwa operasi AirAsia akan 'hancur' sekiranya kemudahan yang disediakan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) tidak selaras dengan pertumbuhan syarikat penerbangan tambang murah itu.

''Kami tidak boleh memperlahankan pertumbuhan apatah lagi AirAsia sudah membeli kapal-kapal terbang baru,'' ujarnya.


AirAsia akan memiliki 184 buah pesawat termasuk 159 pesawat berbadan kecil dan 25 pesawat berbadan besar menjelang 2013 berbanding Malaysia Airlines System Bhd. (MAS).


Fernandes berkata, syarikat itu mengunjurkan menjelang 2013, penumpang AirAsia dan AirAsia X mencecah 60 juta penumpang setahun, melebihi penumpang SIA.

''Menjelang 2013, AirAsia akan muncul sebagai syarikat penerbangan kedua yang memiliki penumpang terbesar selepas Japan Airlines.

''Tetapi syarikat ini akan menjadi syarikat yang memiliki pesawat terbanyak pada 2030,'' tambahnya.

Tiada ulasan: